Monday, November 26, 2012

Surat dari kakak

0 comments

Beberapa minggu lepas kakak buat surat istimewa untuk kita sekeluarga. 'Ok terima kasih, nanti papa tengok', kata papa dengan sekilas pandang pada hasil kreativiti dan keikhlasan kakak.

Tiba-tiba tadi semasa sedang late supper, papa terpandang lipatan surat itu dicelah-celah tin biskut di atas meja makan. Serta merta rasa bersalah menghantui diri. Ibu sudah tidur, adik sudah tidur, Muhammad sudah tidur dan kakak juga sudah tidur.

Kadang kala dalam kesibukan menguruskan kehidupan seharian, kita terlupa apa yang paling penting, yang sepatutnya menjadi keutamaan kita yang sebenarnya..

Maaf ye kakak..

Kakak kata;
'Saya sayang ibu
Saya sayang papa
Saya sayang adik
Saya sayang Muhammad'

*Kami pon sayang kakak!!





Saturday, November 24, 2012

Misi mengejar Ulama

0 comments

Alhamdulillah, misi menghadiri kuliah Ustaz Azhar Idrus di Masjid Jamek Kajang berjaya dengan cemerlang. Walaupon sampai agak lewat akibat kesesakan serta kesukaran mencari tempat letak kereta, namun dapat masbuk jemaah maghrib dirakaat terakhir atas jalan tar beralaskan sejadah bekalan.

Subhanallah, para jemaah yang dahagakan ilmu serta bimbingan para Ulama memenuhi segenap inci ruang masjid sehingga melimpah ruah.

Usaha menyelit dicelah-celah para jemaah juga agak berjaya kerana mendapat tempat di dewan solat utama dengan jarak 7-8 saf dari meja penceramah namun berdekatan dengan layar siaran langsung sebelum ceramah bermula.

"Mengakulah kita banyak dosa, nanti tuhan sayang. Janganlah mengaku kita tiada dosa, nanti tuhan benci. Yang tiada dosa hanya para malaikat dan para rasul", Ustaz Azhar Idrus

Terima kasih Ustaz, atas perkongsian ilmu yang bermanfaat dalam suasana yang agak santai serta lawak. Memang TERBAIK!

Terima kasih juga Ustaz kerana sudi meluangkan masa 20-30 minit melayan ratusan para jemaah yang mengerumuni ingin bersalaman. Kalah artis popular!!

*Dah dapat salam UAI, bolehlah tidur lena..
*Para jemaah sibuk ambil gambar Ustaz, Ustaz juga tidak lupa mengambil gambar para jemaah




Big boy

0 comments

Alhamdulillah episod kurang sihat secara bergilir-gilir sudah berlalu. Papa sudah sihat, kakak sudah sihat, adik sudah sihat dan Muhammad juga sudah sihat walaupon on/off selsema.

Pulih demam Muhammad sudah ada kemahiran baru..
1) Sudah boleh memegang sendiri botol semasa menyusu
2) Sudah boleh meniarap walaupon dengan susah payah dan kadangkala perlukan a little nudge

Hebatlah anak papa, cepat betul Muhammad membesar...




Wednesday, November 14, 2012

Home alone with Muhammad

2 comments

Hari ini hanya Papa dan Muhammad berdua sahaja di rumah. Ibu kerja, kakak dan adik di taska, MakLong babysitter balik kampung ada urusan.

Kesihatan Muhammad bertambah baik.
Muhammad sudah mandi pagi + minum susu + dan sekarang sedang tidur.

Moga segalanya berjalan lancar, moga Muhammad tidak mengamuk.. huhu


Tuesday, November 13, 2012

Oh Muhammad

0 comments

Kesihatan muhammad masih belum pulih sepenuhnya. Masih meragam tanpa diketahui puncanya, minum susu agak kurang dan badan agak susut dari kebiasaannya.

Esok papa dan muhammad akan tinggal berdua sahaja di rumah sementara ibu bekerja. Moga berjalan lancar..


Monday, November 12, 2012

Merengek seharian

0 comments

Masuk hari ketiga Muhammad tidak sihat. Walaupon demamnya sudah agak kebah, tetapi muhammad sentiasa merengek dan menangis tidak selesa. Asyik mahu didukung dari pagi hingga ke malam. Tidurnya pon cuma seketika dan sambung merengek bila terjaga. Bagai ada sesuatu yang tidak kena sehingga papa dan ibu jadi buntu mencari puncanya.

Semalam ibu terpaksa tinggal di rumah menjaga muhammad sendirian sementara papa, kakak dan adik menghadiri majlis perkahwinan Tok Ayah Mir di Klang.

Ya-Allah berikan lah Muhammad kesembuhan, kesihatan dan kembalikan lah keceriaannya.. amin.

*Tahniah kepada Tok Ayah Mir (TokGawo) serta pasangan


Saturday, November 10, 2012

Muhammad demam pulak

2 comments

Berturut-turut pulak episod sakit dalam keluarga kita;
1) Peparu PakLong terluka semasa menjalani biopsi hati
2) Kakak demam panas
3) Adik sakit leher
4) Papa demam sejak 3-4hari lalu

Dan hari ini suhu badan Muhammad tiba-tiba tinggi dengan hingus meleleh tak berhenti, namun Muhammad tidak meragam hanya pasrah melayan ketidak-sihatannya. Tapi nampak muhammad agak pasif dan tidak banyak berbicara seperti selalu.

Kehadiran MakLong, PakLong dan keluarga pon tidak dapat dirai dengan sempurna kerana masing-masing kurang sihat.

Ya-Allah kembalikan lah kesihatan kami. Amin..




Friday, November 09, 2012

Girlz out

1 comments

Hari ni lepas majlis anugerah kat Pasti ibu bwk anak2 ibu gi soping2, makan2 kat alamanda.The best part is its sponsored by papa. We love u papa


Published with Blogger-droid v2.0.4

Deeja hebat!

0 comments

Hari ini ada penyampaian hadiah PASTI. Deeja dapat nombor 2 dalam kelas. Bukan itu sahaja, deeja juga dapat anugerah matapelajaran cemerlang bagi subjek Bahasa Melayu serta Bahasa Arab. Hebat lah anak papa nie!!

Namun yang kurang hebatnya, deeja tak mahu naik pentas mengambil hadiah. 'Segan', katanya. Sudahnya ibu terpaksa naik pentas mengambil hadiah sebanyak 3 kali dengan deeja menyorok dibelakang  diikuti dengan gelak-tawa para hadirin... Bikin malu saja budak hebat ini!!

'Nanti adik nak beli cincin, gelang, subang, jam tangan, rantai......', kata deeja tentang wishlist nya.

*Tahniah buat deeja, moga terus hebat dan cemerlang dunia dan akhirat. Amin



Thursday, November 08, 2012

Akhlak terbaik

0 comments

Hari ini ada penyampaian hadiah Sekolah KAFA, kakak dapat hadiah matapelajaran terbaik bagi subjek Akhlak.

Esok penyampaian hadiah adik pula, dapat nombor 2 dalam kelas.

Malangnya papa tidak dapat hadir kedua-duanya kerana sibuk di pejabat.

Harap kakak dan adik tak berkecil hati.

*sedih


Wednesday, November 07, 2012

Salah bantal?

0 comments

Petang isnin sesampai di taska, dari jauh papa lihat adik keluar dengan kepala teleng senget dengan teruk ke kanan. Cikgu kata deeja salah bantal, tapi deeja kata ada kawan (ter)pijak masa tido.

Berdebar dan panik juga dengan keadaan sebegitu, sepanjang perjalanan ke klinik hanya mampu berdoa dalam hati agar tiada yang kritikal atau kecederaan kekal.

(*Don't do these at home!!)
Doktor memeriksa tulang leher, tiada yang pelik. Doktor mengalih-alih kepala deeja kiri dan kanan, atas dan bawah serta memeriksa bahagian badan lain jika ada kecederaan. Alhamdulillah tiada kecederaan yang perlu dibimbangkan. Doktor bekalkan pain-killer serta neck-support untuk dipakai selama 1-2 minggu. Deeja kembali ceria cuma agak grumpy terpaksa memakai neck-support.

Papa: Tak sakit ke masa doktor periksa?
Deeja: SAKIT!
Papa: Kenapa adik tak cakap?
Deeja: Adik malu dengan doktor..

Sementara itu kakak pon masih demam sejak beberapa hari lalu. Mungkin keraba asyik terkena hujan lebat yang agak kerap waktu petang. Pukul 2 pagi papa terjaga, suhu badan kakak agak tinggi. Bila tuaman air sejuk tidak membantu, papa bawa kakak ke bilik air untuk mandi..Alhamdulillah panas makin surut. Walaupon tidak sihat, kakak masih chatty (suka bersembang)..

"Ya Allah berikanlah kami kesihatan. Baik kan lah leher khadeeja, pulihkanlah kesihatan aqila, berikan juga muhammad kesihatan, papa dan ibu kesihatan.. Pulihkan juga kesihatan PakLong seperti sediakala. Ya Allah tuhan yang Maha Pengasih. Amin"

*Sejak semalam badan papa pun mula sakit-sakit, suhu naik, selsema dan batuk..




Monday, November 05, 2012

I am number 2!

0 comments

Minggu lepas ada jamuan serta majlis kecil di sekolah Deeja. Sampai di rumah deeja menunjukkan makanan serta goodies (jajan) yang dibawa pulang beserta dua bekas makanan plastik berwarna hijau. 'Adik menang nombor dua!', kata deeja seronok. 'Adik menang apa?', tanya papa ingin kepastian punca kemenangan itu. 'Tak tau..', deeja menjawab ringkas seperti kebiasaannya sekiranya tiada jawapan untuk digoreng.

Tadi ibu menghubungi sekolah, rupanya deeja yang suka ponteng dapat NOMBOR DUA dalam kelas!

HEBAT LAH ANAK PAPA!!

*kelas deeja hanya ada 4 orang murid..


Friday, November 02, 2012

Ngompol

0 comments

'Papa, adik tak mau tido pakai pampers selama lama lama lama lama nya', kata deeja suatu hari. Itu azam yang tiba-tiba timbul daripada anak kecil 4 tahun yang merasa dirinya sudah besar.

Papa hanya mengangguk kagum dengan azam itu. Namun anggukan itu bersyarat.. deeja mesti kencing dahulu sebelum tidur. Deeja akur...

Dan episod terkencing semasa tidur (jawa: ngompol) pon berulang beberapa kali.

'Papa, adik kencing... basah', kata deeja sedih dan takut dimarahi. 'Emm takpe lah, deeja kan kecik lagi. Nanti deeja dah hebat, tak terkencing lagi', kata manis menenangkan hati sikecil itu.

*Gambar: Deeja sedang menolong ibu melipat kain baju..


 

Our little princess Copyright 2008 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipiet | All Image Presented by Tadpole's Notez