Wednesday, February 16, 2011

BUKU: Biografi Muhammad Bin Abdullah - Perjalanan Hidup Seorang Nabi



Buku 14 bab dengan 466 mukasurat hasil nukilan (Prof Dr) Zulkifli Haji Mohd Yusoff dan (Dr) Noor Naemah Abd Rahman ini mengisahkan perjalanan hidup Nabi Muhammad S.A.W serta perjuangan dan perkembangan Agama Islam sejak kelahiran sehingga kewafatan Baginda.

Penggunaan bahasa serta gaya penceritaan ala novel yang santai tanpa rujukan-rujukan ilmiah yang sarat memudahkan para pembaca menghayati butiran setiap peristiwa yang disampaikan serta menyerap pengajaran-pengajaran yang tersurat dan tersirat disebaliknya.

Kesukaran dan keperitan berdakwah dikalangan kaum Quraisy Mekah sepanjang 10 tahun pertama kenabian dengan sekadar mampu mengislamkan 70 lelaki dikalangan mereka, tidak mematahkan semangat baginda.

Dakwah baginda banyak mendapat sokongan serta bantuan daripada Abdul Mutalib, Siti Khadijah serta Abu Talib. Pernah suatu ketika orang Quraisy memboikot orang-orang Islam dengan melarang sesiapa sahaja berurusniaga dengan mereka, namun Rasullah tetap mendapat sokongan daripada suku Abdul Mutalib, suku Abdul Manaf dan suku Hasyim.

Akibatnya orang Quraisy turut memboikot serta mengenakan sekatan terhadap sesiapa sahaja yang menyokong dan menolong Muhammad S.A.W. Sekatan tersebut berlangsung selama 3 tahun sehingga Rasullah berserta orang-orang islam serta penyokong-penyokong baginda hidup dalam serba kekurangan serta terpaksa berpindah ke pinggir Mekah dan mengwujudkan perkampungan sendiri.

Selain daripada kedegilan Quraisy, buku ini juga merakamkan kedegilan Yahudi yang tetap ingkar untuk beriman kepada Allah serta Rasullah walaupun tanda-tanda kenabian Muhammad S.A.W memang jelas serta nyata disebutkan dalam kitab mereka, hanya kerana Muhammad bukan daripada bangsa kaum mereka.

Keadaan ini akhirnya berubah dengan berlakunya peristiwa Hijrah dan Perjanjian Hudaibiah dengan angkatan seramai 1400 orang, sehingga kepada pembukaan Mekah dengan salah satu angkatan tentera terbesar ketika itu iaitu seramai 10,000 orang. Dan akhirnya Islam tersebar keseluruh semenanjung Arab.

Diantara peristiwa yang harus menjadi iktibar ialah tentang keingkaran segelintir para sahabat akan perintah Baginda supaya tidak meninggalkan posisi mereka sepanjang peperangan Uhud sehingga menyebabkan tentera Islam kucar-kacir dan Rasullah diasak hebat mengakibatkan Baginda cedera serta patah beberapa batang gigi.

Buku ini juga sarat dengan kisah-kisah para sahabat yang banyak berusaha, berkorban serta ada yang syahid dalam usaha mengembangkan agama Islam.

Setelah lengkapnya agama Islam diwahyukan oleh Allah S.W.T kepada Baginda Rasullah S.A.W, bahagian yang paling meruntun jiwa pastinya pada bab terakhir buku ini iaitu 'Muhammad Meninggal Dunia'.


Saya bukan pencinta buku secara semulajadi, namun buku ini berjaya membuatkan saya sangat sukar untuk melepaskannya malahan tersangat displin untuk terus membacanya pada bila-bila sahaja ada masa terluang.

Salam Maulidur Rasul, 1432 Hijrah.

1 comments on "BUKU: Biografi Muhammad Bin Abdullah - Perjalanan Hidup Seorang Nabi"

mang90 on March 16, 2011 5:22 PM said...

mohon utk copy post ni...thanks

 

Our little princess Copyright 2008 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipiet | All Image Presented by Tadpole's Notez